Assalamualaikum semua. Ingatan daripada kami, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada, luaskan fikiran...^^

Thursday, October 30, 2014

Sekitar Kenangan 2014 (2)










Bacaan Yaasin dan Solat Hajat untuk para pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Doa warga guru sentiasa mengiringi kalian. Lakukan yang terbaik. InsyaAllah, hasilnya juga terbaik.

#SPM2014 #smkmaxwell #goodluck #doa #usaha #ikhtiar #tawakkal #semogaALLAHredha

Friday, October 24, 2014

Awal Muharram 1436H





Sungguh cepat masa berlalu meninggalkan kita. Persoalannya, adakah kita telah memanfaatkan sebaik-baik mungkin masa yang telah dipinjamkan oleh Allah SWT kepada kita untuk kehidupan akhirat? Tepuk dada, tanyalah iman. Hijrah menuju ke jalan yang diredhai Allah tidak semestinya dimulakan pada bulan Muharram yang merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam. Sepatutnya, hijrah itu bermula setelah genapnya berpuasa sebulan Ramadan yang lalu ataupun pada permulaan hari baru. Tanpa iltizam yang tinggi untuk berubah kerana Allah SWT, maka hijrah itu mungkin tidak akan berkekalan. Ayuh berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa ditunjukkan ke jalan yang lurus serta dimantapkan iman untuk menghadapi dunia masa kini yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Digalakkan untuk kita membaca doa akhir tahun ini pada penghujung waktu Asar pada 29 Zulhijjah atau 30 Zulhijjah. Digalakkan untuk kita membaca doa awal tahun selepas menyempurnakan fardhu Maghrib pada awal tahun baharu ataupun pada malam 1 Muharram. 

Friday, October 10, 2014

Erti Sebuah Kesyukuran


Orang kaya tidak semestinya bersyukur.
Orang yang bersyukur tidak semestinya kaya. 

Namun, Allah telah berjanji bahawa sesiapa yang bersyukur kepadaNya, pasti rezekinya akan dilipatgandakan.

Sungguh, Allah sebaik-baik Pemberi Rezeki. :)

Jagalah Allah



Kita sering mengharapkan agar Allah memelihara keperluan diri kita.
Namun, agama Allah tidak langsung kita pertahankan dengan segenap upaya.
Hatta, kualiti dan kuantiti ibadah juga tidak pernah dipertingkat.

Adakah layak untuk hamba seperti kita mendapatkan syafaatNya di akhirat kelak?

#salamjumaat #muhasabahdiri

Kebaikan Mengajarkan Ilmu



Antara amalan yang menjanjikan pahala berpanjangan walaupun seseorang hamba Allah itu telah meninggal dunia termasuklah mengajarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Selagi mana diikuti, maka rahmat Allah pastinya menanti kita sepanjang masa.

Paling penting, istiqamah. :)

Ayuh Wahai Hati...



Ayuh kita sibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keredhaan Allah kerana tua tidak menjadi syarat untuk mati. Andai kata kita sedar saat kita akan kembali kepadaNya kelak, pasti setiap helaan nafas yang masih berbaki akan dimanfaatkan untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

#muhasabahdiri #salamjumaat

Salam Jumaat



Adakah kalian maklum bahawa terdapat waktu mustajab doa dalam tempoh tertentu sepanjang hari Jumaat?
.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).
.
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a.     Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b.     Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis  yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.”  (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).

Ayuh berdoa! Jika Allah sudi mendengar, mengapakah kita enggan menadah tangan bagi memohon rahmat dan keampunan daripadaNya?
#muhasabahdiri #menujuIllahi

Thursday, October 9, 2014

Sekitar Kenangan (1)







Bacaan Yaasin dan Solat Hajat untuk para para pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini. :)

#PT3 #2014 #goodluck #semogaALLAHredha #menujuIllahi #akucintaALLAH

Sunday, October 5, 2014

Aidiladha 1435H




Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~

Pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat seluruh warga guru Islam dan para pelajar Islam SMK Maxwell. 

Alangkah indahnya hidup jika setiap perkara diteraskan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. 
Mudah-mudahan, setiap amalan kita diterima dan diberikan ganjaran selayaknya oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang memperoleh keampunan serta mendapat syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan.

Tuesday, August 19, 2014

Penilaian Allah



Umumnya, masyarakat seringkali salah faham berkenaan rupa paras. Rupa paras bukanlah ukuran keimanan.  Tiada ertinya amalan andainya tidak dilakukan secara ikhlas kerana Allah. Amalan turut menjadi sia-sia seandainya dilaksanakan tanpa ilmu. 

Sunday, July 27, 2014

Aidilfitri 1435H




Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~

Pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh warga guru Islam dan para pelajar Islam SMK Maxwell. 

Pihak PPI Maxwell juga ingin menyusun sepuluh jari, memohon maaf andaikata kami pernah mengguris perasaan mana-mana pihak sepanjang kami mengelolakan acara rasmi bagi tahun ini. 

Ramadan juga telah beransur pergi. Mudah-mudahan, setiap amalan kita diterima dan diberikan ganjaran selayaknya oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang memperoleh keampunan setelah keluar dari bulan Ramadan. 


#aidilfitri1435H #jombertakbir #Pray4Gaza 

Saturday, June 28, 2014

Ramadan 1435H



Hadirnya bulan Ramadan membuatkan si pendosa berasa terharu.

Siapakah si pendosa itu? Ya, kita semua. 

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang telah berlalu dan menggolongkan kita dalam kalangan hambaNya yang bertakwa.

#alhamdulillah #fastingisforAllah

Tuesday, May 27, 2014

Selamat Hari Guru


Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua.

Anggota tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat warga guru di SMK Maxwell khasnya dan di seluruh Malaysia amnya. Moga-moga rahmat dan kasih sayang Allah SWT dilimpahkan buat seluruh warga pendidik yang sentiasa ikhlas dalam melahirkan individu yang cemerlang di dunia dan di akhirat. InsyaAllah. Amin. 

p/s: Hari ini merupakan Hari Guru peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell.

Tuesday, May 6, 2014

Sesi Usrah bersama PKPIM




Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~ 

Sesi usrah Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 6 Mei 2014. Seluruh pimpinan tertinggi PPI Maxwell terlibat. Semoga sesi usrah ini menjadi pemangkin utama untuk kami terus bangkit memartabatkan syariat Allah.

#pkpim #usrah #smkmaxwell #ayuh #pertahankanIslam #akucintaALLAH #menujuIllahi


Tuesday, February 4, 2014

Kelebihan Berselawat Kepada Rasulullah SAW


Antara kelebihan berselawat kepada Rasulullah SAW:

1. “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. “ (Riwayat Tabrani).
.
2. “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

SubhanAllah...

Mari Bertaubat Kepada Allah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Pengampun, Lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Zumar, ayat 53.

Nota: Allah Subhanahu Wataala mengampuni semua dosa hambaNya yang bertaubat melainkan mereka yang mati dalam keadaan syirik.

Teman Sejati; Harapan Setiap Insan


Amat sukar bagi kita untuk mencari teman sejati; teman yang benar-benar sanggup bersama kita saat kita senang mahupun susah dan sentiasa mengingatkan kita tentang kesilapan yang kita lakukan. Walaupun begitu, saat kita sedang menghadapi kesukaran, kita pasti akan dapat menjumpai seorang sahabat yang setia di sisi bagi menghulurkan bantuan, memberikan semangat ataupun menitipkan doa kala kita tidak sedar. Sungguh, Allah Maha Penyayang. Allah menghadiahkan seorang teman sejati buat kita sebagai tanda kasihNya terhadap kita. 

MasyaAllah...:)

Saturday, January 25, 2014

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah 1435H

Alhamdulillah, pada 21 Rabiul Awwal 1435H bersamaan 23 Januari 2013M, Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell dengan kerjasama pihak sekolah telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah bagi tahun ini. Sambutan ini diadakan bagi memupuk rasa cinta terhadap junjungan besar, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan menyuntik satu semangat baru ke dalam jiwa pelajar agar terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai redha Allah di dunia dan di akhirat. Seorang penceramah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), iaitu Ustaz Mohd Nizar bin Mohd Nadzir telah dijemput bagi menyampaikan ceramah. Semoga para pelajar Islam SMK Maxwell mengambil iktibar akan perjuangan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam menegakkan syariat Islam di atas muka bumiNya ini. 






Sunday, January 19, 2014

Sayangilah Kedua-dua Ibu Bapa Kita


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang.

23. Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-sebaiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah", dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

24. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku di waktu kecil."


Sunday, January 5, 2014

Teka-Teki Imam Ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau memberikan beberapa pertanyaan yang unik.

Imam Ghazali= Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 = Orang tua
Murid 2 = Guru
Murid 3 = Teman
Murid 4 = Kaum kerabat
Imam Ghazali = Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini?
Murid 1 = Negeri Cina
Murid 2 = Bulan
Murid 3 = Matahari
Murid 4 = Bintang-bintang
Iman Ghazali = Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Imam Ghazali = Apa yang paling besar didunia ini?
Murid 1 = Gunung
Murid 2 = Matahari
Murid 3 = Bumi
Imam Ghazali = Semua jawapan itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

Imam Ghazali = Apa yang paling berat di dunia?
Murid 1 = Baja
Murid 2 = Besi
Murid 3 = Gajah
Imam Ghazali = "Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah"

Imam Ghazali = Apa yang paling ringan di dunia ini?
Murid 1 = Kapas
Murid 2 = Angin
Murid 3 = Debu
Murid 4 = Daun-daun
Imam Ghazali = "Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat"

Imam Ghazali = Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?
Murid- Murid dengan serentak menjawab = Pedang
Imam Ghazali = "tu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri"


SubhanAllah...