Assalamualaikum semua. Ingatan daripada kami, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada, luaskan fikiran...^^

Friday, August 30, 2013

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah

Alhamdulillah, pada tanggal 30 Ogos 2013, SMK Maxwell telah mengadakan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah yang bertempat di Dataran Max. Tujuan sambutan ini diadakan bagi mengingati semula jasa para pejuang kemerdekaan yang telah gugur dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Para pelajar diberi peluang untuk menyampaikan persembahan bagi memeriahkan lagi suasana Sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan seiring dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Semoga majlis yang diadakan ini mampu untuk memupuk rasa cinta terhadap negara dan mengeratkan lagi perpaduan antara masyarakat yang berbilang bangsa serta melahirkan rasa kesyukuran atas kemenangan umat Islam yang telah berjaya berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. InsyaAllah, majlis Sambutan 'Merdeka Raya' ini akan diadakan lagi pada tahun yang akan datang.
 

 

Sekitar Pemandangan di SMK Maxwell

 
Surau Lelaki SMK Maxwell

 
Ruang dalam Surau Lelaki SMK Maxwell

Thursday, August 8, 2013

Kenangan Dalam Ingatan (2)

Atas permintaan ahli-ahli PPI Maxwell, admin laman PPI Maxwell telah bersetuju untuk memuat naik gambar-gambar ceria mereka sewaktu mengikuti Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah yang diadakan pada 2 Ogos 2013 bersamaan 24 Ramadan 1434H. Moga-moga majlis yang dianjurkan ini mampu untuk memupuk minat dan rasa cinta terhadap kitab suci Al-Quran yang merupakan kalam-kalam indah Allah S.W.T.. Jadikanlah Al-Quran sebagai panduan hidup dalam mendapatkan keredhan-Nya dan keampunan-Nya.


Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah

Alhamdulillah, pada pagi Jumaat, 2 0gos bersamaan 24 Ramadan 1434H, PPI Maxwell dengan kerjasama pihak pentadbir sekolah telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah yang disertai oleh semua pelajar Islam. Majlis Khatam Al-Quran ini dipengerusikan oleh Muhammad Amirul bin Omar Sarib, iaitu bekas Pengerusi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell pada tahun lepas. Majlis ini diharapkan mampu untuk menyemai rasa cinta umat Islam kepada kitab suci Al-Quran yang merupakan kalam-kalam Allah S.W.T.. Memandangkan bulan Ramadan semakin tiba ke penghujungnya, majlis ini juga diharapkan mampu untuk mengajak pelajar-pelajar Islam, warga pendidik dan umat Islam amnya untuk segera mengkhatamkan Al-Quran. Bulan Ramadan menjadi mulia bukan disebabkan oleh puasa namun ia disebabkan oleh turunnya Al-Quran. Maka tidak hairanlah ulama mazhab seperti Imam As-Syafie mampu untuk mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan banyak juga ulama-ulama lain yang sanggup menutup kelas pengajian hadis semata-mata mahu menghabiskan masa untuk membaca Al-Quran.



Wednesday, August 7, 2013

Selamat Hari Raya!

 
 


Assalamualaikum semua. Admin PPI Maxwell mewakili seluruh warga pendidik SMK Maxwell dan pelajar-pelajar Islam SMK Maxwell untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Sesiapa yang ingin pulang ke kampung halaman, Admin berharap agar kalian memulakan perjalanan dengan menyebut nama Allah S.W.T. dan berwaspada ketika berada dalam perjalanan. Jika penat, berehatlah terlebih dahulu. Semoga ketibaan Syawal memberikan iktibar kepada kita semua, InsyaAllah. Sebelum itu, marilah kita bersama-sama menghayati takbir Syawal sebagai tanda menginsafi keagungan dan kebesaran Allah S.W.T..

Projek Menaik Taraf Tempat Wuduk Lelaki


 
Alhamdulillah syukur, tempat wuduk lelaki telah selesai dinaik taraf. Berkat pertolongan insitusi kerajaan seperti Baitulmal, warga pendidik SMK Maxwell dan tokoh koporat, akhirnya projek menaik taraf ini dapat dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Semoga rezeki pemberian saudara/saudari diberkati dan dilipatgandakan oleh Allah S.W.T., InsyaAllah. Amin.

Sunday, July 28, 2013

Jom Kita Pertingkatkan Ibadat!



Alhamdulillah, kita sudah semakin hampir ke malam yang ke-20 Ramadan. Begitu pantas masa berlalu. Namun begitu, satu pertanyaan buat diri, adakah kita sudah semakin bersedia untuk menghadapi malam Lailatul Qadar? InsyaAllah, kita sudah bersedia. Admin berharap agar semua umat Islam mempertingkat ibadah dalam minggu-minggu terakhir Ramadan ini. Teringat pesan Ustaz Azuhan Ismail dalam tazkirahnya tempoh hari:

"Kita ni tak tentu lagi hidup panjang. Entah sempat ke tak berjumpa Ramadan tahun hadapan."

Oleh sebab itu, kita sewajarnya menggunakan semua peluang yang Allah berikan dalam bulan Ramadan. Minggu Pengampunan semakin ke penghujung. Tidak lama lagi, Minggu Pembebasan daripada Api Neraka akan tiba. Ayuh, kita perbanyakkan doa semoga Allah S.W.T. mengurniakan rahmat kepada kita, mengampunkan seluruh dosa yang pernah kita lakukan sepanjang bernafas di atas muka bumi ini dan menyelamatkan kita daripada azab api neraka lalu memasukkan kita ke syurga-Nya yang penuh dengan kenikmatan. Luangkanlah sedikit masa pada setiap malam untuk menunaikan solat sunat Tahajud. Untuk permulaan, mulakanlah dahulu dengan dua rakaat. Allah tidak memandang kepada bilangan rakaat. Allah cuma melihat keikhlasan hati kita sewaktu beribadah kepada-Nya. Allah Maha Pengasih. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Jadikanlah hadis di atas sebagai pendorong kepada kita untuk meningkatkan amal soleh. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa.


p/s: Mohon perkongsian untuk gambar di atas. Terima kasih..^^

Saturday, July 27, 2013

Kenangan dalam Ingatan (1)

Atas permintaan ahli-ahli PPI Maxwell, admin laman PPI Maxwell telah bersetuju untuk memuat naik gambar-gambar ceria mereka sewaktu mengikuti program Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawikh serta Qiamullail. Moga-moga program yang dianjurkan ini mampu membuka mata pelajar-pelajar bahawa Islam bukan semata-mata untuk beribadah sebaliknya Islam itu menyeluruh.




Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh serta Qiamullail

Baru-baru ini, Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh serta Qiamullail dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam SMK Maxwell dan pihak pentadbir SMK Maxwell. Tujuan diadakan program sebegini adalah untuk menerapkan nilai-nilai positif dan nilai-nilai Islam utamanya dalam diri pelajar-pelajar. Majlis ini dihadiri hampir 250 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga, Tingkatan Empat, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar hasil daripada kerjasama yang diberikan oleh semua pelajar Islam. Untuk pengetahuan pembaca semua, Ustaz Azuhan Ismail telah dijemput oleh pihak PPI Maxwell bagi mengetuai solat fardhu pada setiap waktu, solat sunat Tarawikh dan Qiamullail pada keesokan paginya. Selain menjadi imam dalam setiap solat, Ustaz Azuhan Ismail turut memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar Islam dalam usaha untuk melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang di dunia malahan cemerlang juga di akhirat. Berikut merupakan gambar bagi aktiviti yang telah dijalankan sepanjang semalaman pelajar-pelajar Islam di sekolah:

Ceramah Motivasi bagi pelajar-pelajar Islam Tingkatan 3, 4, 5 dan 6.


Wednesday, July 10, 2013

Hayatilah Azan


 
 
 
Sungguh, jika dihayati alunan azan yang dikumandangkan oleh kedua-dua imam muda tersebut, terasa kerdil diri ini ketika di hadapan Allah Subhanahu Wataala. Serasa ingin mengalir air mata. Admin PPI Maxwell berharap agar kita semua mendengar dengan teliti ketika azan berkumandang. Sedarlah kita bahawa azan merupakan seruan Allah. Terdapat satu lagi seruan Allah; iaitu saat tibanya kematian. Yang itu mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Marilah kita sujud kepada Allah; sebagai tanda kita seorang insan yang kerdil dan sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya sebelum nafas kita berakhir. 

Tuesday, July 9, 2013

Solat Sunat Dhuha



Begitu mudah sekali untuk melaksanakan solat sunat dhuha. PPI Maxwell berharap agar pembaca sekalian menjadikan ibadah solat sunat dhuha ini sebagai kewajipan harian lebih-lebih lagi kita yang sedang berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Manfaatkan waktu dengan melakukan amal ibadah biarpun hanya berzikir. Semoga kita akan terus istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah kepada-Nya. InsyaAllah.

Monday, July 8, 2013

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan





Ya, bulan Ramadhan semakin tiba. Semoga amal ibadah yang kita lakukan mendapat gandaan pahala daripada Allah Subhanahu Wataala. Yang paling penting, istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah. PPI mengucapkan Selamat Berpuasa kepada pelajar-pelajar SMK Maxwell dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Jadikanlah bulan puasa  yang bakal tiba sebagai medan bagi kita untuk berubah ke arah yang lebih positif dan menyingkirkan segala keburukan dalam diri.

p/s: Mohon perkongsian untuk lagu di atas ya. Terima Kasih^^..