Assalamualaikum semua. Ingatan daripada kami, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada, luaskan fikiran...^^
Monday, December 1, 2014
Husnul Khatimah Harapan Insan
Alangkah indahnya hidup ini andai dapat kembali kepadaNya dalam keadaan Husnul Khatimah. Bayangkan apabila perjalanan kita menuju ke langit disambut dengan sapaan mesra dan senyuman oleh seluruh penduduk langit dan diiringi bau yang lebih harum daripada kasturi. Kemudian dimaklumkan pula bahawa syurga merupakan ketetapan buat diri. Setelah itu, liang lahad yang sebelumnya sempit, dilapangkan seluas-luasnya. Segala amalan yang dilakukan secara ikhlas kerana Allah Taala juga menemani diri tatkala kesunyian tanpa doa daripada anak-anak.
Sungguh manis saat itu.
#assalamualaikum #together #towards #jannah #semogaALLAHredha #menujuIllahi
Saturday, November 29, 2014
Sebutlah 'InsyaAllah'
Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~
Hari esok merupakan perkara ghaib. Hanya Allah selaku Pentadbir Sekalian Alam sahaja yang tahu akan perjalanan dunia ini pada esok hari. Hatta kekasih Allah, iaitu baginda Nabi sallallahu alayhi wasallam juga tidak tahu akan perkara-perkara ghaib melainkan sekadar yang diwahyukan sahaja. Kita juga tidak akan maklum akan kisah umat terdahulu yang dibinasakan Allah Taala kerana kedegilan mereka melainkan setelah kita menghayati sepenuhnya isi kandungan Al-Quran. Justeru itu, sebutlah "InsyaAllah" ketika diri akan melakukan sesuatu kerana belum tentu lagi kita masih diberikan kesempatan untuk melakukannya.
#insyaAllah #SeruDenganHikmah #jom #amalkan #semogaALLAHredha #merdeka #SPM2014
Friday, November 21, 2014
Yakinlah kepada Allah
Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~
Sesungguhnya, jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah Taala yang pasti tidak akan mampu diubah. Segala sesuatu itu mengandungi hikmah yang tersirat; amat sukar untuk dirungkaikan menerusi logik akal. Untuk makluman semua, Encik Rozaini bin Ismail, iaitu guru subjek Pendidikan Seni di SMK Maxwell akan berpindah ke Cheras. Moga-moga rahmat Allah Taala akan senantiasa dilimpahkan kepada beliau atas sumbang baktinya yang tidak ternilai.
#salamjumaat #semogaALLAHredha #menujuIllahi
Saturday, November 15, 2014
Sekitar Kenangan 2014 (3)
Para pelajar Islam Tingkatan 5 sedang membaca Surah Yaasin. Semoga rahmat Allah sentiasa dilimpahkan buat mereka. Mudah-mudahan mereka berjaya di dunia serta di akhirat. InsyaAllah. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Tetapkan matlamat hidup kalian mulai sekarang agar kalian dapat memandu masa depan ke arah yang diredhai Allah Taala. Paling penting, jadilah insan yang sentiasa berakhlak mulia dalam kehidupan seharian. Orang yang berakhlak mulia itu ibarat cahaya, mampu menerangi perjalanannya sendiri menuju Illahi dan mampu menerangi laluan insan lain.
#SPM2014 #goodluck #menujuIllahi
Thursday, November 13, 2014
Forum Perdana Ehwal Islam: Buang Pakai
Pada malam ini, Forum Perdana Ehwal Islam akan mengadakan bual bicara bertajuk "Buang Pakai". Siaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya pada hari Khamis, 13 Nov 2014, jam 9.05 minit malam. Siaran langsung ini dibawa khas oleh TV1.
Para penonton akan bersama:
1. Ustaz Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah (Moderator)
2. Ustaz Hj. Mohd Kazim Elias Al-Hafiz;
3. Ustaz Badli Shah Alauddin.
Ayuh hadir bagi yang berkesempatan! :)
Pencetus Ummah Musim Kedua
Setiap pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang holistik bagi memastikan mesej Islam sampai ke sanubari masyarakat. Paling penting, berdakwah di jalan Allah biarlah ikhlas. Apabila kita benar-benar ikhlas untuk menegakkan syariat Allah di atas muka bumiNya ini, Allah pasti tidak akan mensia-siakan setiap jerit payah yang kita hadapi dan akan dibalas dengan syurgaNya yang hakiki. Di samping itu, elemen kesabaran juga penting semasa menjalankan kegiatan dakwah. Contohilah perjuangan baginda Nabi sallallahu alayhi wasallam yang tabah mengharungi pelbagai onak duri semasa memperkenalkan Islam kepada masyarakat. Rasulullah sallallahu alayhi wasallam tidak pernah berputus asa sebaliknya terus istiqamah mendoakan agar setiap insan dikurniakan hidayat oleh Allah Taala. Duniaku Dakwahku.
Andai terdapat sebarang kemusykilan berhubung hukum hakam dalam agama, maka kalian boleh mengajukannya kepada barisan Pencetus Ummah 2. InsyaAllah, semuanya akan dijawab. Gunakan hashtag #tanyalahpencetusummah.
Friday, November 7, 2014
Mudahnya Selawat
Antara hikmah membaca selawat kepada baginda Nabi sallallahu alayhi wasallam:
1. Berasa lebih mencintai Rasulullah SAW.
2. Menjadi zakat dan pembersih diri.
3. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT.
4. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah.
Ayuh selawat~
#menujuIllahi #akucintaALLAH
Ayuh Hadir!
Forum Khas Maal Hijrah 1436H Peringkat Kebangsaan
- Diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara pada Jumaat, 24 Oktober 2014, jam 5.45 petang.
- Forum bertajuk ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’.
- Panel jemputan:
1) Sahibus Samahah D. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Mufti WP)
2) Ustazah Norhafizah Musa (Pensyarah UTM)
3) Ustaz Zarifi bin Mohamad Daud (Moderator)
Bacaan Yasin, Doa Akhir Tahun 1435H dan Awal Tahun 1436H Jumaat, 24 Oktober 2014, jam 6.50 petang.
Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.
#hijrah #satutransformasi #menujuIllahi #akucintaALLAH
Thursday, October 30, 2014
Sekitar Kenangan 2014 (2)
Bacaan Yaasin dan Solat Hajat untuk para pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Doa warga guru sentiasa mengiringi kalian. Lakukan yang terbaik. InsyaAllah, hasilnya juga terbaik.
#SPM2014 #smkmaxwell #goodluck #doa #usaha #ikhtiar #tawakkal #semogaALLAHredha
Friday, October 24, 2014
Awal Muharram 1436H
Sungguh cepat masa berlalu meninggalkan kita. Persoalannya, adakah kita telah memanfaatkan sebaik-baik mungkin masa yang telah dipinjamkan oleh Allah SWT kepada kita untuk kehidupan akhirat? Tepuk dada, tanyalah iman. Hijrah menuju ke jalan yang diredhai Allah tidak semestinya dimulakan pada bulan Muharram yang merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam. Sepatutnya, hijrah itu bermula setelah genapnya berpuasa sebulan Ramadan yang lalu ataupun pada permulaan hari baru. Tanpa iltizam yang tinggi untuk berubah kerana Allah SWT, maka hijrah itu mungkin tidak akan berkekalan. Ayuh berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa ditunjukkan ke jalan yang lurus serta dimantapkan iman untuk menghadapi dunia masa kini yang penuh dengan dugaan dan cabaran.
Digalakkan untuk kita membaca doa akhir tahun ini pada penghujung waktu Asar pada 29 Zulhijjah atau 30 Zulhijjah. Digalakkan untuk kita membaca doa awal tahun selepas menyempurnakan fardhu Maghrib pada awal tahun baharu ataupun pada malam 1 Muharram.
Friday, October 10, 2014
Erti Sebuah Kesyukuran
Orang kaya tidak semestinya bersyukur.
Orang yang bersyukur tidak semestinya kaya.
Namun, Allah telah berjanji bahawa sesiapa yang bersyukur kepadaNya, pasti rezekinya akan dilipatgandakan.
Sungguh, Allah sebaik-baik Pemberi Rezeki. :)
Jagalah Allah
Kita sering mengharapkan agar Allah memelihara keperluan diri kita.
Namun, agama Allah tidak langsung kita pertahankan dengan segenap upaya.
Hatta, kualiti dan kuantiti ibadah juga tidak pernah dipertingkat.
Adakah layak untuk hamba seperti kita mendapatkan syafaatNya di akhirat kelak?
#salamjumaat #muhasabahdiri
Kebaikan Mengajarkan Ilmu
Antara amalan yang menjanjikan pahala berpanjangan walaupun seseorang hamba Allah itu telah meninggal dunia termasuklah mengajarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Selagi mana diikuti, maka rahmat Allah pastinya menanti kita sepanjang masa.
Paling penting, istiqamah. :)
Ayuh Wahai Hati...
Ayuh kita sibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keredhaan Allah kerana tua tidak menjadi syarat untuk mati. Andai kata kita sedar saat kita akan kembali kepadaNya kelak, pasti setiap helaan nafas yang masih berbaki akan dimanfaatkan untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.
#muhasabahdiri #salamjumaat
Salam Jumaat
Adakah kalian maklum bahawa terdapat waktu mustajab doa dalam tempoh tertentu sepanjang hari Jumaat?
.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).
.
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a. Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b. Pada akhir waktu Asar.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).
Ayuh berdoa! Jika Allah sudi mendengar, mengapakah kita enggan menadah tangan bagi memohon rahmat dan keampunan daripadaNya?
#muhasabahdiri #menujuIllahi
Thursday, October 9, 2014
Sekitar Kenangan (1)
Bacaan Yaasin dan Solat Hajat untuk para para pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini. :)
#PT3 #2014 #goodluck #semogaALLAHredha #menujuIllahi #akucintaALLAH
Sunday, October 5, 2014
Aidiladha 1435H
Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~
Pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat seluruh warga guru Islam dan para pelajar Islam SMK Maxwell.
Alangkah indahnya hidup jika setiap perkara diteraskan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Mudah-mudahan, setiap amalan kita diterima dan diberikan ganjaran selayaknya oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang memperoleh keampunan serta mendapat syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan.
Tuesday, August 19, 2014
Penilaian Allah
Umumnya, masyarakat seringkali salah faham berkenaan rupa paras. Rupa paras bukanlah ukuran keimanan. Tiada ertinya amalan andainya tidak dilakukan secara ikhlas kerana Allah. Amalan turut menjadi sia-sia seandainya dilaksanakan tanpa ilmu.
Sunday, July 27, 2014
Aidilfitri 1435H
Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~
Pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh warga guru Islam dan para pelajar Islam SMK Maxwell.
Pihak PPI Maxwell juga ingin menyusun sepuluh jari, memohon maaf andaikata kami pernah mengguris perasaan mana-mana pihak sepanjang kami mengelolakan acara rasmi bagi tahun ini.
Ramadan juga telah beransur pergi. Mudah-mudahan, setiap amalan kita diterima dan diberikan ganjaran selayaknya oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang memperoleh keampunan setelah keluar dari bulan Ramadan.
#aidilfitri1435H #jombertakbir #Pray4Gaza
Saturday, June 28, 2014
Ramadan 1435H
Hadirnya bulan Ramadan membuatkan si pendosa berasa terharu.
Siapakah si pendosa itu? Ya, kita semua.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang telah berlalu dan menggolongkan kita dalam kalangan hambaNya yang bertakwa.
#alhamdulillah #fastingisforAllah
Subscribe to:
Posts (Atom)




.jpg)




























