Assalamualaikum semua. Ingatan daripada kami, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada, luaskan fikiran...^^

Wednesday, December 31, 2014

Ayuh Hadir!



Muslimin & Muslimat dijemput ke Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin & Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) Shah Alam pada hari Khamis, 1 Januari 2015 jam 6.30 petang.

Ayuh hadir bagi yang berkelapangan...

Info: Masjid SSAAS merupakan masjid terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. 
#Pray4PantaiTimur #doa #muhasabahdiri #cintarasul #kelantan #terengganu #pahang #johor #banjir 2014 #semogaALLAHredha #menujuIllahi #salamsejahtera #DIAgnosis #tahunbaru2015 #SeruDenganHikmah

Tuesday, December 30, 2014

Pelita Sentiasa Menerangi



Jaminan Allah kepada hamba-hambaNya yang mahu berfikir. Allah Taala tidak akan memberikan sesuatu ujian melainkan sekadar yang terdaya dipikul oleh hambaNya. Yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama kita; tidak kira senang mahupun susah. Kita diciptakan oleh Allah dan hanya kepadaNya kita semua akan kembali

#assalamualaikum #SeruDenganHikmah #DIAgnosis #cintarasul #Pray4PantaiTimur #banjir2014 #kelantan #terengganu #pahang #semogaALLAHredha #akucintaALLAH

Tuesday, December 23, 2014

Pertahankan Ulama



Kenyataan Media Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan Isu Waran Tangkap Prof Dr Yusuf Al Qaradawi oleh Polis Antarabangsa (Interpol). Begitulah realiti dunia akhir zaman. Para ilmuwan Islam akan cuba digulingkan oleh musuh-musuh agama Allah Taala untuk memastikan hasrat buruk mereka tercapai. Paling mendukacitakan, terdapat pula segelintir umat Islam yang langsung tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap perbuatan terkutuk mereka ini. 

Semoga rahmat Allah Taala akan terus menaungi para ulama.

#pertahankan #ulama #pewarisnabi

Monday, December 22, 2014

PT3 2014


Alhamdulillah~ 

Tahniah kepada semua yang berjaya! Ingat bahawa perjuangan kalian masih jauh. Hari ini, biarlah kita belajar daripada kesilapan lebih awal supaya tidak membuahkan kekesalan pada kemudian hari. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang menanti di hadapan. Ayuh teguhkan azam dan bangkit menuju kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat kelak. InsyaAllah

Harap pembaca semua tidak membandingbezakan keputusan PT3 tahun ini dengan keputusan PMR tahun lepas kerana kedua-duanya tidak serupa. 

#congratulations #PT32014 #sabar #perjuangan #semogaALLAHredha #akucintaALLAH

Monday, December 1, 2014

Husnul Khatimah Harapan Insan



Alangkah indahnya hidup ini andai dapat kembali kepadaNya dalam keadaan Husnul Khatimah. Bayangkan apabila perjalanan kita menuju ke langit disambut dengan sapaan mesra dan senyuman oleh seluruh penduduk langit dan diiringi bau yang lebih harum daripada kasturi. Kemudian dimaklumkan pula bahawa syurga merupakan ketetapan buat diri. Setelah itu, liang lahad yang sebelumnya sempit, dilapangkan seluas-luasnya. Segala amalan yang dilakukan secara ikhlas kerana Allah Taala juga menemani diri tatkala kesunyian tanpa doa daripada anak-anak. 

Sungguh manis saat itu. 

#assalamualaikum #together #towards #jannah #semogaALLAHredha #menujuIllahi

Saturday, November 29, 2014

Sebutlah 'InsyaAllah'



Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~

Hari esok merupakan perkara ghaib. Hanya Allah selaku Pentadbir Sekalian Alam sahaja yang tahu akan perjalanan dunia ini pada esok hari. Hatta kekasih Allah, iaitu baginda Nabi sallallahu alayhi wasallam juga tidak tahu akan perkara-perkara ghaib melainkan sekadar yang diwahyukan sahaja. Kita juga tidak akan maklum akan kisah umat terdahulu yang dibinasakan Allah Taala kerana kedegilan mereka melainkan setelah kita menghayati sepenuhnya isi kandungan Al-Quran. Justeru itu, sebutlah "InsyaAllah" ketika diri akan melakukan sesuatu kerana belum tentu lagi kita masih diberikan kesempatan untuk melakukannya.

#insyaAllah #SeruDenganHikmah #jom #amalkan #semogaALLAHredha #merdeka #SPM2014

Friday, November 21, 2014

Yakinlah kepada Allah



Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~

Sesungguhnya, jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah Taala yang pasti tidak akan mampu diubah. Segala sesuatu itu mengandungi hikmah yang tersirat; amat sukar untuk dirungkaikan menerusi logik akal. Untuk makluman semua, Encik Rozaini bin Ismail, iaitu guru subjek Pendidikan Seni di SMK Maxwell akan berpindah ke Cheras. Moga-moga rahmat Allah Taala akan senantiasa dilimpahkan kepada beliau atas sumbang baktinya yang tidak ternilai.

#salamjumaat #semogaALLAHredha #menujuIllahi


Saturday, November 15, 2014

Sekitar Kenangan 2014 (3)




Para pelajar Islam Tingkatan 5 sedang membaca Surah Yaasin. Semoga rahmat Allah sentiasa dilimpahkan buat mereka. Mudah-mudahan mereka berjaya di dunia serta di akhirat. InsyaAllah. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Tetapkan matlamat hidup kalian mulai sekarang agar kalian dapat memandu masa depan ke arah yang diredhai Allah Taala. Paling penting, jadilah insan yang sentiasa berakhlak mulia dalam kehidupan seharian. Orang yang berakhlak mulia itu ibarat cahaya, mampu menerangi perjalanannya sendiri menuju Illahi dan mampu menerangi laluan insan lain. 

#SPM2014 #goodluck #menujuIllahi

Thursday, November 13, 2014

Forum Perdana Ehwal Islam: Buang Pakai



Pada malam ini, Forum Perdana Ehwal Islam akan mengadakan bual bicara bertajuk "Buang Pakai". Siaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya pada hari Khamis, 13 Nov 2014, jam 9.05 minit malam. Siaran langsung ini dibawa khas oleh TV1.

Para penonton akan bersama:

1. Ustaz Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah (Moderator)
2. Ustaz Hj. Mohd Kazim Elias Al-Hafiz;
3. Ustaz Badli Shah Alauddin.

Ayuh hadir bagi yang berkesempatan! :)

Pencetus Ummah Musim Kedua




Setiap pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang holistik bagi memastikan mesej Islam sampai ke sanubari masyarakat. Paling penting, berdakwah di jalan Allah biarlah ikhlas. Apabila kita benar-benar ikhlas untuk menegakkan syariat Allah di atas muka bumiNya ini, Allah pasti tidak akan mensia-siakan setiap jerit payah yang kita hadapi dan akan dibalas dengan syurgaNya yang hakiki. Di samping itu, elemen kesabaran juga penting semasa menjalankan kegiatan dakwah. Contohilah perjuangan baginda Nabi sallallahu alayhi wasallam yang tabah mengharungi pelbagai onak duri semasa memperkenalkan Islam kepada masyarakat. Rasulullah sallallahu alayhi wasallam tidak pernah berputus asa sebaliknya terus istiqamah mendoakan agar setiap insan dikurniakan hidayat oleh Allah Taala. Duniaku Dakwahku.

Andai terdapat sebarang kemusykilan berhubung hukum hakam dalam agama, maka kalian boleh mengajukannya kepada barisan Pencetus Ummah 2. InsyaAllah, semuanya akan dijawab. Gunakan hashtag #tanyalahpencetusummah. 

Friday, November 7, 2014

Mudahnya Selawat



Antara hikmah membaca selawat kepada baginda Nabi sallallahu alayhi wasallam:

1. Berasa lebih mencintai Rasulullah SAW.
2. Menjadi zakat dan pembersih diri.
3. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT.
4. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah.

Ayuh selawat~


#menujuIllahi #akucintaALLAH 

Ayuh Hadir!



Forum Khas Maal Hijrah 1436H Peringkat Kebangsaan

- Diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara pada Jumaat, 24 Oktober 2014, jam 5.45 petang.
- Forum bertajuk ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’. 
- Panel jemputan:

1) Sahibus Samahah D. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Mufti WP)
2) Ustazah Norhafizah Musa (Pensyarah UTM)
3) Ustaz Zarifi bin Mohamad Daud (Moderator)

Bacaan Yasin, Doa Akhir Tahun 1435H dan Awal Tahun 1436H Jumaat, 24 Oktober 2014, jam 6.50 petang.

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.


#hijrah #satutransformasi #menujuIllahi #akucintaALLAH

Thursday, October 30, 2014

Sekitar Kenangan 2014 (2)










Bacaan Yaasin dan Solat Hajat untuk para pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Doa warga guru sentiasa mengiringi kalian. Lakukan yang terbaik. InsyaAllah, hasilnya juga terbaik.

#SPM2014 #smkmaxwell #goodluck #doa #usaha #ikhtiar #tawakkal #semogaALLAHredha

Friday, October 24, 2014

Awal Muharram 1436H





Sungguh cepat masa berlalu meninggalkan kita. Persoalannya, adakah kita telah memanfaatkan sebaik-baik mungkin masa yang telah dipinjamkan oleh Allah SWT kepada kita untuk kehidupan akhirat? Tepuk dada, tanyalah iman. Hijrah menuju ke jalan yang diredhai Allah tidak semestinya dimulakan pada bulan Muharram yang merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam. Sepatutnya, hijrah itu bermula setelah genapnya berpuasa sebulan Ramadan yang lalu ataupun pada permulaan hari baru. Tanpa iltizam yang tinggi untuk berubah kerana Allah SWT, maka hijrah itu mungkin tidak akan berkekalan. Ayuh berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa ditunjukkan ke jalan yang lurus serta dimantapkan iman untuk menghadapi dunia masa kini yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Digalakkan untuk kita membaca doa akhir tahun ini pada penghujung waktu Asar pada 29 Zulhijjah atau 30 Zulhijjah. Digalakkan untuk kita membaca doa awal tahun selepas menyempurnakan fardhu Maghrib pada awal tahun baharu ataupun pada malam 1 Muharram. 

Friday, October 10, 2014

Erti Sebuah Kesyukuran


Orang kaya tidak semestinya bersyukur.
Orang yang bersyukur tidak semestinya kaya. 

Namun, Allah telah berjanji bahawa sesiapa yang bersyukur kepadaNya, pasti rezekinya akan dilipatgandakan.

Sungguh, Allah sebaik-baik Pemberi Rezeki. :)

Jagalah Allah



Kita sering mengharapkan agar Allah memelihara keperluan diri kita.
Namun, agama Allah tidak langsung kita pertahankan dengan segenap upaya.
Hatta, kualiti dan kuantiti ibadah juga tidak pernah dipertingkat.

Adakah layak untuk hamba seperti kita mendapatkan syafaatNya di akhirat kelak?

#salamjumaat #muhasabahdiri

Kebaikan Mengajarkan Ilmu



Antara amalan yang menjanjikan pahala berpanjangan walaupun seseorang hamba Allah itu telah meninggal dunia termasuklah mengajarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Selagi mana diikuti, maka rahmat Allah pastinya menanti kita sepanjang masa.

Paling penting, istiqamah. :)

Ayuh Wahai Hati...



Ayuh kita sibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keredhaan Allah kerana tua tidak menjadi syarat untuk mati. Andai kata kita sedar saat kita akan kembali kepadaNya kelak, pasti setiap helaan nafas yang masih berbaki akan dimanfaatkan untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

#muhasabahdiri #salamjumaat

Salam Jumaat



Adakah kalian maklum bahawa terdapat waktu mustajab doa dalam tempoh tertentu sepanjang hari Jumaat?
.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).
.
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a.     Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b.     Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis  yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.”  (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).

Ayuh berdoa! Jika Allah sudi mendengar, mengapakah kita enggan menadah tangan bagi memohon rahmat dan keampunan daripadaNya?
#muhasabahdiri #menujuIllahi

Thursday, October 9, 2014

Sekitar Kenangan (1)







Bacaan Yaasin dan Solat Hajat untuk para para pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini. :)

#PT3 #2014 #goodluck #semogaALLAHredha #menujuIllahi #akucintaALLAH

Sunday, October 5, 2014

Aidiladha 1435H




Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~

Pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat seluruh warga guru Islam dan para pelajar Islam SMK Maxwell. 

Alangkah indahnya hidup jika setiap perkara diteraskan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. 
Mudah-mudahan, setiap amalan kita diterima dan diberikan ganjaran selayaknya oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang memperoleh keampunan serta mendapat syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan.

Tuesday, August 19, 2014

Penilaian Allah



Umumnya, masyarakat seringkali salah faham berkenaan rupa paras. Rupa paras bukanlah ukuran keimanan.  Tiada ertinya amalan andainya tidak dilakukan secara ikhlas kerana Allah. Amalan turut menjadi sia-sia seandainya dilaksanakan tanpa ilmu. 

Sunday, July 27, 2014

Aidilfitri 1435H




Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~

Pimpinan tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh warga guru Islam dan para pelajar Islam SMK Maxwell. 

Pihak PPI Maxwell juga ingin menyusun sepuluh jari, memohon maaf andaikata kami pernah mengguris perasaan mana-mana pihak sepanjang kami mengelolakan acara rasmi bagi tahun ini. 

Ramadan juga telah beransur pergi. Mudah-mudahan, setiap amalan kita diterima dan diberikan ganjaran selayaknya oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang memperoleh keampunan setelah keluar dari bulan Ramadan. 


#aidilfitri1435H #jombertakbir #Pray4Gaza 

Saturday, June 28, 2014

Ramadan 1435H



Hadirnya bulan Ramadan membuatkan si pendosa berasa terharu.

Siapakah si pendosa itu? Ya, kita semua. 

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang telah berlalu dan menggolongkan kita dalam kalangan hambaNya yang bertakwa.

#alhamdulillah #fastingisforAllah

Tuesday, May 27, 2014

Selamat Hari Guru


Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua.

Anggota tertinggi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat warga guru di SMK Maxwell khasnya dan di seluruh Malaysia amnya. Moga-moga rahmat dan kasih sayang Allah SWT dilimpahkan buat seluruh warga pendidik yang sentiasa ikhlas dalam melahirkan individu yang cemerlang di dunia dan di akhirat. InsyaAllah. Amin. 

p/s: Hari ini merupakan Hari Guru peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell.

Tuesday, May 6, 2014

Sesi Usrah bersama PKPIM




Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah semua~ 

Sesi usrah Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 6 Mei 2014. Seluruh pimpinan tertinggi PPI Maxwell terlibat. Semoga sesi usrah ini menjadi pemangkin utama untuk kami terus bangkit memartabatkan syariat Allah.

#pkpim #usrah #smkmaxwell #ayuh #pertahankanIslam #akucintaALLAH #menujuIllahi


Tuesday, February 4, 2014

Kelebihan Berselawat Kepada Rasulullah SAW


Antara kelebihan berselawat kepada Rasulullah SAW:

1. “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. “ (Riwayat Tabrani).
.
2. “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

SubhanAllah...

Mari Bertaubat Kepada Allah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Pengampun, Lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Zumar, ayat 53.

Nota: Allah Subhanahu Wataala mengampuni semua dosa hambaNya yang bertaubat melainkan mereka yang mati dalam keadaan syirik.

Teman Sejati; Harapan Setiap Insan


Amat sukar bagi kita untuk mencari teman sejati; teman yang benar-benar sanggup bersama kita saat kita senang mahupun susah dan sentiasa mengingatkan kita tentang kesilapan yang kita lakukan. Walaupun begitu, saat kita sedang menghadapi kesukaran, kita pasti akan dapat menjumpai seorang sahabat yang setia di sisi bagi menghulurkan bantuan, memberikan semangat ataupun menitipkan doa kala kita tidak sedar. Sungguh, Allah Maha Penyayang. Allah menghadiahkan seorang teman sejati buat kita sebagai tanda kasihNya terhadap kita. 

MasyaAllah...:)

Saturday, January 25, 2014

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah 1435H

Alhamdulillah, pada 21 Rabiul Awwal 1435H bersamaan 23 Januari 2013M, Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell dengan kerjasama pihak sekolah telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah bagi tahun ini. Sambutan ini diadakan bagi memupuk rasa cinta terhadap junjungan besar, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan menyuntik satu semangat baru ke dalam jiwa pelajar agar terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai redha Allah di dunia dan di akhirat. Seorang penceramah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), iaitu Ustaz Mohd Nizar bin Mohd Nadzir telah dijemput bagi menyampaikan ceramah. Semoga para pelajar Islam SMK Maxwell mengambil iktibar akan perjuangan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam menegakkan syariat Islam di atas muka bumiNya ini.