Assalamualaikum semua. Ingatan daripada kami, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada, luaskan fikiran...^^
Sunday, July 28, 2013
Jom Kita Pertingkatkan Ibadat!
Alhamdulillah, kita sudah semakin hampir ke malam yang ke-20 Ramadan. Begitu pantas masa berlalu. Namun begitu, satu pertanyaan buat diri, adakah kita sudah semakin bersedia untuk menghadapi malam Lailatul Qadar? InsyaAllah, kita sudah bersedia. Admin berharap agar semua umat Islam mempertingkat ibadah dalam minggu-minggu terakhir Ramadan ini. Teringat pesan Ustaz Azuhan Ismail dalam tazkirahnya tempoh hari:
"Kita ni tak tentu lagi hidup panjang. Entah sempat ke tak berjumpa Ramadan tahun hadapan."
Oleh sebab itu, kita sewajarnya menggunakan semua peluang yang Allah berikan dalam bulan Ramadan. Minggu Pengampunan semakin ke penghujung. Tidak lama lagi, Minggu Pembebasan daripada Api Neraka akan tiba. Ayuh, kita perbanyakkan doa semoga Allah S.W.T. mengurniakan rahmat kepada kita, mengampunkan seluruh dosa yang pernah kita lakukan sepanjang bernafas di atas muka bumi ini dan menyelamatkan kita daripada azab api neraka lalu memasukkan kita ke syurga-Nya yang penuh dengan kenikmatan. Luangkanlah sedikit masa pada setiap malam untuk menunaikan solat sunat Tahajud. Untuk permulaan, mulakanlah dahulu dengan dua rakaat. Allah tidak memandang kepada bilangan rakaat. Allah cuma melihat keikhlasan hati kita sewaktu beribadah kepada-Nya. Allah Maha Pengasih. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Jadikanlah hadis di atas sebagai pendorong kepada kita untuk meningkatkan amal soleh. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa.
p/s: Mohon perkongsian untuk gambar di atas. Terima kasih..^^
Saturday, July 27, 2013
Kenangan dalam Ingatan (1)
Atas permintaan ahli-ahli PPI Maxwell, admin laman PPI Maxwell telah bersetuju untuk memuat naik gambar-gambar ceria mereka sewaktu mengikuti program Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawikh serta Qiamullail. Moga-moga program yang dianjurkan ini mampu membuka mata pelajar-pelajar bahawa Islam bukan semata-mata untuk beribadah sebaliknya Islam itu menyeluruh.
Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh serta Qiamullail
Baru-baru ini, Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh serta Qiamullail dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam SMK Maxwell dan pihak pentadbir SMK Maxwell. Tujuan diadakan program sebegini adalah untuk menerapkan nilai-nilai positif dan nilai-nilai Islam utamanya dalam diri pelajar-pelajar. Majlis ini dihadiri hampir 250 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga, Tingkatan Empat, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar hasil daripada kerjasama yang diberikan oleh semua pelajar Islam. Untuk pengetahuan pembaca semua, Ustaz Azuhan Ismail telah dijemput oleh pihak PPI Maxwell bagi mengetuai solat fardhu pada setiap waktu, solat sunat Tarawikh dan Qiamullail pada keesokan paginya. Selain menjadi imam dalam setiap solat, Ustaz Azuhan Ismail turut memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar Islam dalam usaha untuk melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang di dunia malahan cemerlang juga di akhirat. Berikut merupakan gambar bagi aktiviti yang telah dijalankan sepanjang semalaman pelajar-pelajar Islam di sekolah:
Ceramah Motivasi bagi pelajar-pelajar Islam Tingkatan 3, 4, 5 dan 6.
Ceramah Motivasi bagi pelajar-pelajar Islam Tingkatan 3, 4, 5 dan 6.
Wednesday, July 10, 2013
Hayatilah Azan
Sungguh, jika dihayati alunan azan yang dikumandangkan oleh kedua-dua imam muda tersebut, terasa kerdil diri ini ketika di hadapan Allah Subhanahu Wataala. Serasa ingin mengalir air mata. Admin PPI Maxwell berharap agar kita semua mendengar dengan teliti ketika azan berkumandang. Sedarlah kita bahawa azan merupakan seruan Allah. Terdapat satu lagi seruan Allah; iaitu saat tibanya kematian. Yang itu mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Marilah kita sujud kepada Allah; sebagai tanda kita seorang insan yang kerdil dan sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya sebelum nafas kita berakhir.
Tuesday, July 9, 2013
Solat Sunat Dhuha
Begitu mudah sekali untuk melaksanakan solat sunat dhuha. PPI Maxwell berharap agar pembaca sekalian menjadikan ibadah solat sunat dhuha ini sebagai kewajipan harian lebih-lebih lagi kita yang sedang berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Manfaatkan waktu dengan melakukan amal ibadah biarpun hanya berzikir. Semoga kita akan terus istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah kepada-Nya. InsyaAllah.
Monday, July 8, 2013
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan
Ya, bulan Ramadhan semakin tiba. Semoga amal ibadah yang kita lakukan mendapat gandaan pahala daripada Allah Subhanahu Wataala. Yang paling penting, istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah. PPI mengucapkan Selamat Berpuasa kepada pelajar-pelajar SMK Maxwell dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Jadikanlah bulan puasa yang bakal tiba sebagai medan bagi kita untuk berubah ke arah yang lebih positif dan menyingkirkan segala keburukan dalam diri.
p/s: Mohon perkongsian untuk lagu di atas ya. Terima Kasih^^..
Subscribe to:
Posts (Atom)