Assalamualaikum semua. Ingatan daripada kami, jika belum solat, tunaikanlah solat terlebih dahulu kerana solat merupakan tiang agama. Solat dapat membantu mencegah dan melindungi diri kita daripada perbuatan mungkar. Jom kita tegakkan agama Allah dengan bersolat. Bagi yang telah bersolat, bolehlah meneruskan pembacaan. Lapangkan dada, luaskan fikiran...^^

Wednesday, December 18, 2013

Semoga Berjaya..^^


Assalamualaikum semua. Saya mewakili barisan admin PPI Maxwell dan warga guru Maxwell ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua pelajar Tingkatan 3 yang akan mengambil keputusan peperiksaan PMR esok. InsyaAllah, kejayaan akan menjadi milik kalian. Mohonlah doa kepadaNya agar diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat. Tabahkan hati dan ucapkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala biarpun kalian tidak memperoleh keputusan cemerlang. Usah khuatir. Setiap anak Adam yang lahir itu telah Allah tentukan rezekinya; rezeki untuk dirinya dan kedua-dua ibu bapanya. Yakinlah akan qada' dan qadar Allah Azza Wajalla. 

Allahu Akbar! Selamat Maju Jaya. 

Wednesday, November 27, 2013

Belajarlah untuk Memaafkan Orang Lain


Jika sesama manusia pun kita berdendam sehingga ke akhir usia, bagaimanakah kita sebagai hambaNya yang kerdil lagi hina ini mahu mengharapkan pengampunan daripada Allah? Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Justeru itu, belajarlah untuk memohon maaf dan memaafkan bagi melahirkan hati yang bahagia. Contohilah akhlak baginda Rasulullah sallallahu alayhi wassalam yang sanggup memaafkan musuh-musuh baginda sesudah mereka memeluk Islam. Mereka mencerca dan menghina Rasulullah tatkala baginda menyampaikan seruan Allah kepada mereka. Jika Rasulullah boleh memaafkan, adakah patut untuk kita yang langsung tidak setaraf dengan baginda untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain..?

Sunday, November 17, 2013

Jangan Sesekali Meninggalkan Solat


Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Solatlah kamu umpama kamu sedang melihat Allah. Walaupun kamu tidak dapat melihat Allah, Allah pastinya sedang melihat kamu. Di dalam kubur sana, terdapat ramai insan yang ingin kembali ke dunia semata-mata untuk sujud biarpun sekali sahaja kepada Allah. Jom kita manfaatkan peluang yang ada bagi mencari kembali cinta Allah.

Akhlak Mencerminkan Keperibadian Diri


Akhlak yang baik mencerminkan keperibadian diri. Justeru itu, usahlah mengejar kecantikan pada wajah kerana kecantikan itu tidak akan berkekalan. Sebaliknya, rebutlah kecantikan pada akhlak kerana itulah yang akan menjadikan hidup kita bahagia di dunia dan di akhirat kelak. Semoga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang sentiasa memperoleh rahmat dan keberkatan dalam hidup.

Saturday, November 9, 2013

Belajarlah Erti Syukur



Orang yang beriman pastinya akan sentiasa berasa cukup dalam hidupnya. Dia tidak akan pernah merungut mahupun kesal akan kemiskinannya kerana dia yakin bahawa segala-galanya merupakan ketentuan daripada Allah. Dia juga sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala atas setiap nikmat yang diperoleh. Dia yakin jika dirinya sentiasa bersama Allah, Allah akan bersama dengannya walau dalam apa jua keadaan. Sebenarnya, itulah tanda bahawa ketenangan sudah menjadi miliknya.

Hargailah Mereka Selagi Hayat Dikandung Badan



Ibu bapa kita sering berharap agar kita menelefon mereka setiap hari dan bertanyakan khabar diri mereka. Namun begitu, anak-anak seringkali memberikan alasan dengan menyatakan bahawa diri sibuk dengan urusan kerja mahupun atas sebab-sebab yang tidak munasabah. Sedarlah kalian bahawa ibu bapa hadir hanya sekali dalam hidup kita. Usah biarkan ibu bapa menghabiskan sisa hidup mereka dengan menanti panggilan daripada anak yang tercinta. Berbahagialah buat ibu bapa yang mempunyai anak yang sentiasa bertanyakan khabar diri mereka setiap hari walaupun sekejap.

Monday, November 4, 2013

Selamat Menyambut Maal Hijrah




Dan barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan rasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sesungguhnya pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa', ayat 100

____________________________________________________________________________________________

Barisan admin PPI Maxwell mewakili warga guru Islam SMK Maxwell ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada pelajar-pelajar Islam SMK Maxwell khususnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya. Jadikanlah tahun hadapan sebagai platform ke arah pemantapan diri sama ada dari aspek jasmani mahupun rohani. Mohonlah keampunan daripada Allah atas segala perbuatan mungkar yang pernah kita lakukan sepanjang tahun lepas. Sematkan satu iltizam dalam hati bahawa kita ingin bertaubat dan meninggalkan kehidupan masa lalu yang pernuh dengan noda dosa. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hambaNya yang sentiasa memperoleh rahmat dan ketenangan dalam hidup. 

Saturday, October 26, 2013

Manfaatkanlah Ilmu untuk Kebaikan Diri


Manfaatkanlah ilmu yang dimiliki untuk kebaikan diri dan umat Islam. Tidak berguna bagi kita yang selalu menghafal ilmu namun tidak mampu untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Jadikanlah ilmu itu sebagai panduan dalam mengharungi liku-liku kehidupan di dunia dan sebagai bekalan ketika di mahsyar kelak. Usah sia-siakan ilmu dengan tidak mengamalkannya. Ilmu hanya akan habis apabila kita sudah menghembuskan nafas yang terakhir. Persoalannya, sejauh manakah ilmu yang kita tuntut sewaktu hidup dahulu memberi manfaat kepada mereka yang masih hidup? Pernahkah kita berusaha untuk menyebarkan ilmu yang dimiliki? Tepuk dada, tanyalah iman. Bagi insan yang selalu berusaha untuk menyebarkan ilmu, InsyaAllah ganjaran pahala yang berterusan akan diperoleh biarpun kini dirimu tidak lagi 'bersama' mereka yang masih bernafas di atas muka bumi Allah ini. 

Musibah Tanda Kasihnya Allah


Usah berputus asa dengan musibah yang Allah berikan. Baranglali, Allah ingin menguji kita sama ada kita semakin dekat dengan denganNya ataupun semakin tersasar dari jalan yang diredhaiNya. Jika Allah memperlihatkan pahala bagi setiap musibah yang kita hadapi, pasti kita inginkan musibah hadir dalam hidup kita. Maha Suci Allah, Allah Maha Penyayang. Ampunkanlah hambaMu ini, ya Allah. :)

Peliharalah Hubungan dengan Allah


Jangan sampai hubungan kita dengan Allah terputus. Sekali putus, kita akan mengalami kesukaran untuk menyambungnya semula. Persoalannya, apakah caranya untuk menyambung semula hubungan kita dengan Allah yang telah terputus sejak sekian lama? Bertaubat dan melakukan semula semua perintahNya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. :)

Belajarlah untuk Berkorban


Tidak dapat dinafikan. Renung-renungkan akan setiap perbuatan yang kita lakukan saban hari. Barangkali, perbuatan yang kita lakukan itu menunjukkan kesetiaan kita pada 'dunia' sehingga melupakan kita kepada matlamat sebenar, iaitu menyediakan bekalan sebagai persediaan menghadapi Allah kelak. Akhirat merupakan matlamat kita. Jangan kerana kita mencintai sesuatu, kita tidak sanggup untuk berkorban buat sesuatu yang sememangnya penting bagi diri kita. Lapangkan dada, luaskan fikiran.

Ingatlah kepada Allah



Terdapat berbagai-bagai cara untuk mengingati Allah. Cara yang paling mudah adalah dengan melafazkan zikrullah. Kita boleh bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir malah dengan hanya menyebut Allah, kita tetap dikira sebagai mengingati Allah, Tuhan Semesta Alam. Cara yang kedua adalah dengan melaksanakan solat. Jika kita berada dalam keadaan gusar atau hati tidak tenteram, laksanakanlah solat sunat dua rakaat. InsyaAllah, setiap permasalahan yang kita hadapi akan ketemu pengakhirannya. Pokoknya ialah, jika kita ingat Allah, Allah pasti akan ingat kita. :)

Tuesday, October 22, 2013

Lawatan ke PERKIM


Untuk makluman, semua pelajar Islam Tingkatan 3 akan mengadakan lawatan ke Perkim yang terletak bertentangan dengan sekolah. Para pelajar Islam akan bergerak ke bangunan Perkim pada jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 1 tengah hari. Di sini, pelajar-pelajar Islam akan diberi pendedahan menyeluruh tentang peranan Perkim dalam membantu golongan yang baru memeluk Islam atau lebih dikenali sebagai golongan mualaf. Barisan admin PPI Maxwell berharap agar pelajar-pelajar Islam Tingkatan 3 dapat hadir ke sekolah pada 24 Oktober 2013 bagi memastikan aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar. InsyaAllah. 

Friday, October 18, 2013

Bersedialah




Kadangkala, sesetengah soalan itu dibiarkan sepi tanpa jawapan bukan kerana tidak tahu jawapan yang sebenar. Tetapi kerana jiwa masih lagi cintakan dunia yang sementara. Keseronokan dunia melupakan janji kita di hadapan Allah sewaktu diciptakan dahulu. Ampunkan kami, Ya Allah.

Mohonlah Pertolongan Allah



Nasihat kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan; jika anda tidak mampu untuk menjawab soalan yang dikemukakan, bacalah ayat di bawah dan berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan mohonlah petunjuk Allah. InsyaAllah, pertolongan Allah akan tiba kerana Allah sebaik-baik penolong. :)

Monday, October 14, 2013

Salam Aidiladha 1434 Hijrah


Assalamualaikum semua. Saya mewakili barisan guru Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell dan warga guru Maxwell ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1434 Hijrah kepada pelajar-pelajar SMK Maxwell khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Marilah kita bersama-sama menghayati pengorbanan yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. yang sentiasa berusaha untuk mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala. Lontarkan soalan kepada jiwa kita, iaitu adakah diri kita pernah melakukan satu perngorbanan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah? Tepuk dada, tanyalah iman.

Bersyukurlah kepada Allah



Jika difikirkan semula, kita sememangnya jarang bersyukur dengan nikmat yang sedikit. Namun begitu, kita mudah melupakan Allah pada saat kita memperoleh rezeki yang melimpah-ruah. Semoga Allah mengampunkan kita kerana alpa untuk mengingatiNya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Mohonlah Keampunan kepada Allah



Peluang untuk bertaubat masih terbuka selagi mana nyawa masih belum tiba di kerongkong atau matahari masih belum terbit dari Barat. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Hitunglah amalan kita sebelum amalan kita dihitung di padang Mahsyar kelak. :)

Pesanan (4)



Belajarlah untuk menghargai setiap yang telah kita miliki. Kebahagiaan hidup akan dikecapi sekiranya kita menghargai setiap nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini. :)

Sujudlah kepada Allah, Tuhan Semesta Alam




Adakah kebahagiaan jiwa akan tercapai sekiranya solat tidak pernah dilaksanakan? Tepuk dada, tanyalah tahap keimanan diri. Sujudlah kepada Allah sebagai tanda kita sedang menepati janji yang pernah kita lafazkan di hadapan Allah suatu ketika dahulu. Semoga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala. :)

Pesanan (3)



Dewasa ini, saya perhatikan, sesetengah remaja tergamak meninggalkan suruhan Allah S.W.T. semata-mata untuk menuruti kehendak yang sememangnya bertentangan dengan syariat. Pesan saya, manfaatkanlah usia remaja ini dengan mendekati Allah. Jom kita tinggalkan zaman silam kita yang penuh dengan dosa. Insaflah selagi mana hayat masih dikandung badan. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

-MRG-

Perbandingan New York dan Mekah



Mekah akan sentiasa dipenuhi oleh umat Islam yang benar-benar ikhlas untuk mencari keredhaanNya. Mekah akan dibanjiri oleh umat Islam yang telah suci lahiriah dan rohani. Bagaimana pula dengan New York? Sememangnya bandar ini berkembang pesat dari segi infrastruktur dan fizikal rakyatnya juga maju. Taraf hidup mereka juga tinggi. Cuma, kebanyakan mereka tidak mahu memajukan pembangunan rohani. Kesannya? Perhatikanlah akhlak dan perlakuan mereka. Demikian itu telah membuktikan segala-galanya. New York belum lagi maju.


Pesanan (2)



Kita sering berharap agar setiap doa yang kita pohon kepadaNya dimakbulkan. Namun begitu, setiap kali usai solat, kita terus bangun tanpa membaca walau satu wirid sekalipun. Tidakkah kita sedar bahawa sebelumnya kita telah berhadapan dengan... Allah, Tuhan Semesta Alam? Tiadakah rasa malu dalam diri kerana bangun terus usai bersolat? Mahukah kita semua tergolong dalam kalangan hambaNya yang tidak tahu bersyukur? Pastinya tidak. Justeru itu, ubahlah sikap. Jika ingin keluar sekalipun setelah habis solat, pastikan urusan yang ingin kita lakukan benar-benar mustahak. :)

Ambillah Iktibar (1)



Tidak dapat dinafikan. Renung-renungkan akan setiap perbuatan yang kita lakukan saban hari. Barangkali, perbuatan yang kita lakukan itu menunjukkan kesetiaan kita pada 'dunia' sehingga melupakan kita kepada matlamat sebenar, iaitu menyediakan bekalan sebagai persediaan menghadapi Allah kelak. Akhirat merupakan matlamat kita. Jangan kerana kita mencintai sesuatu, kita tidak sanggup untuk berkorban buat sesuatu yang sememangnya penting bagi diri kita. Lapangkan dada, luaskan fikiran. :)

Ingatlah kepada Allah



Terdapat berbagai-bagai cara untuk mengingati Allah. Cara yang paling mudah adalah dengan melafazkan zikrullah. Kita boleh bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir malah dengan hanya menyebut Allah, kita tetap dikira sebagai mengingati Allah, Tuhan Semesta Alam. Cara yang kedua adalah dengan melaksanakan solat. Jika kita berada dalam keadaan gusar atau hati tidak tenteram, laksanakanlah solat sunat dua rakaat. InsyaAllah, setiap permasalahan yang kita hadapi akan ketemu pengakhirannya. Pokoknya ialah, jika kita ingat Allah, Allah pasti akan ingat kita. ^^

Pesanan (1)



Jangan sampai hubungan kita dengan Allah terputus. Sekali putus, kita akan mengalami kesukaran untuk menyambungnya semula. Persoalannya, apakah caranya untuk menyambung semula hubungan kita dengan Allah yang telah terputus sejak sekian lama? Bertaubat dan melakukan semula semua perintahNya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun. :)

Friday, August 30, 2013

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah

Alhamdulillah, pada tanggal 30 Ogos 2013, SMK Maxwell telah mengadakan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah yang bertempat di Dataran Max. Tujuan sambutan ini diadakan bagi mengingati semula jasa para pejuang kemerdekaan yang telah gugur dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Para pelajar diberi peluang untuk menyampaikan persembahan bagi memeriahkan lagi suasana Sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan seiring dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Semoga majlis yang diadakan ini mampu untuk memupuk rasa cinta terhadap negara dan mengeratkan lagi perpaduan antara masyarakat yang berbilang bangsa serta melahirkan rasa kesyukuran atas kemenangan umat Islam yang telah berjaya berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. InsyaAllah, majlis Sambutan 'Merdeka Raya' ini akan diadakan lagi pada tahun yang akan datang.
 

 

Sekitar Pemandangan di SMK Maxwell

 
Surau Lelaki SMK Maxwell

 
Ruang dalam Surau Lelaki SMK Maxwell

Thursday, August 8, 2013

Kenangan Dalam Ingatan (2)

Atas permintaan ahli-ahli PPI Maxwell, admin laman PPI Maxwell telah bersetuju untuk memuat naik gambar-gambar ceria mereka sewaktu mengikuti Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah yang diadakan pada 2 Ogos 2013 bersamaan 24 Ramadan 1434H. Moga-moga majlis yang dianjurkan ini mampu untuk memupuk minat dan rasa cinta terhadap kitab suci Al-Quran yang merupakan kalam-kalam indah Allah S.W.T.. Jadikanlah Al-Quran sebagai panduan hidup dalam mendapatkan keredhan-Nya dan keampunan-Nya.


Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah

Alhamdulillah, pada pagi Jumaat, 2 0gos bersamaan 24 Ramadan 1434H, PPI Maxwell dengan kerjasama pihak pentadbir sekolah telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah yang disertai oleh semua pelajar Islam. Majlis Khatam Al-Quran ini dipengerusikan oleh Muhammad Amirul bin Omar Sarib, iaitu bekas Pengerusi Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell pada tahun lepas. Majlis ini diharapkan mampu untuk menyemai rasa cinta umat Islam kepada kitab suci Al-Quran yang merupakan kalam-kalam Allah S.W.T.. Memandangkan bulan Ramadan semakin tiba ke penghujungnya, majlis ini juga diharapkan mampu untuk mengajak pelajar-pelajar Islam, warga pendidik dan umat Islam amnya untuk segera mengkhatamkan Al-Quran. Bulan Ramadan menjadi mulia bukan disebabkan oleh puasa namun ia disebabkan oleh turunnya Al-Quran. Maka tidak hairanlah ulama mazhab seperti Imam As-Syafie mampu untuk mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan banyak juga ulama-ulama lain yang sanggup menutup kelas pengajian hadis semata-mata mahu menghabiskan masa untuk membaca Al-Quran.



Wednesday, August 7, 2013

Selamat Hari Raya!

 
 


Assalamualaikum semua. Admin PPI Maxwell mewakili seluruh warga pendidik SMK Maxwell dan pelajar-pelajar Islam SMK Maxwell untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Sesiapa yang ingin pulang ke kampung halaman, Admin berharap agar kalian memulakan perjalanan dengan menyebut nama Allah S.W.T. dan berwaspada ketika berada dalam perjalanan. Jika penat, berehatlah terlebih dahulu. Semoga ketibaan Syawal memberikan iktibar kepada kita semua, InsyaAllah. Sebelum itu, marilah kita bersama-sama menghayati takbir Syawal sebagai tanda menginsafi keagungan dan kebesaran Allah S.W.T..

Projek Menaik Taraf Tempat Wuduk Lelaki


 
Alhamdulillah syukur, tempat wuduk lelaki telah selesai dinaik taraf. Berkat pertolongan insitusi kerajaan seperti Baitulmal, warga pendidik SMK Maxwell dan tokoh koporat, akhirnya projek menaik taraf ini dapat dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Semoga rezeki pemberian saudara/saudari diberkati dan dilipatgandakan oleh Allah S.W.T., InsyaAllah. Amin.

Sunday, July 28, 2013

Jom Kita Pertingkatkan Ibadat!



Alhamdulillah, kita sudah semakin hampir ke malam yang ke-20 Ramadan. Begitu pantas masa berlalu. Namun begitu, satu pertanyaan buat diri, adakah kita sudah semakin bersedia untuk menghadapi malam Lailatul Qadar? InsyaAllah, kita sudah bersedia. Admin berharap agar semua umat Islam mempertingkat ibadah dalam minggu-minggu terakhir Ramadan ini. Teringat pesan Ustaz Azuhan Ismail dalam tazkirahnya tempoh hari:

"Kita ni tak tentu lagi hidup panjang. Entah sempat ke tak berjumpa Ramadan tahun hadapan."

Oleh sebab itu, kita sewajarnya menggunakan semua peluang yang Allah berikan dalam bulan Ramadan. Minggu Pengampunan semakin ke penghujung. Tidak lama lagi, Minggu Pembebasan daripada Api Neraka akan tiba. Ayuh, kita perbanyakkan doa semoga Allah S.W.T. mengurniakan rahmat kepada kita, mengampunkan seluruh dosa yang pernah kita lakukan sepanjang bernafas di atas muka bumi ini dan menyelamatkan kita daripada azab api neraka lalu memasukkan kita ke syurga-Nya yang penuh dengan kenikmatan. Luangkanlah sedikit masa pada setiap malam untuk menunaikan solat sunat Tahajud. Untuk permulaan, mulakanlah dahulu dengan dua rakaat. Allah tidak memandang kepada bilangan rakaat. Allah cuma melihat keikhlasan hati kita sewaktu beribadah kepada-Nya. Allah Maha Pengasih. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Jadikanlah hadis di atas sebagai pendorong kepada kita untuk meningkatkan amal soleh. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa.


p/s: Mohon perkongsian untuk gambar di atas. Terima kasih..^^

Saturday, July 27, 2013

Kenangan dalam Ingatan (1)

Atas permintaan ahli-ahli PPI Maxwell, admin laman PPI Maxwell telah bersetuju untuk memuat naik gambar-gambar ceria mereka sewaktu mengikuti program Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawikh serta Qiamullail. Moga-moga program yang dianjurkan ini mampu membuka mata pelajar-pelajar bahawa Islam bukan semata-mata untuk beribadah sebaliknya Islam itu menyeluruh.




Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh serta Qiamullail

Baru-baru ini, Persatuan Pelajar Islam SMK Maxwell telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh serta Qiamullail dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam SMK Maxwell dan pihak pentadbir SMK Maxwell. Tujuan diadakan program sebegini adalah untuk menerapkan nilai-nilai positif dan nilai-nilai Islam utamanya dalam diri pelajar-pelajar. Majlis ini dihadiri hampir 250 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga, Tingkatan Empat, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar hasil daripada kerjasama yang diberikan oleh semua pelajar Islam. Untuk pengetahuan pembaca semua, Ustaz Azuhan Ismail telah dijemput oleh pihak PPI Maxwell bagi mengetuai solat fardhu pada setiap waktu, solat sunat Tarawikh dan Qiamullail pada keesokan paginya. Selain menjadi imam dalam setiap solat, Ustaz Azuhan Ismail turut memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar Islam dalam usaha untuk melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang di dunia malahan cemerlang juga di akhirat. Berikut merupakan gambar bagi aktiviti yang telah dijalankan sepanjang semalaman pelajar-pelajar Islam di sekolah:

Ceramah Motivasi bagi pelajar-pelajar Islam Tingkatan 3, 4, 5 dan 6.


Wednesday, July 10, 2013

Hayatilah Azan


 
 
 
Sungguh, jika dihayati alunan azan yang dikumandangkan oleh kedua-dua imam muda tersebut, terasa kerdil diri ini ketika di hadapan Allah Subhanahu Wataala. Serasa ingin mengalir air mata. Admin PPI Maxwell berharap agar kita semua mendengar dengan teliti ketika azan berkumandang. Sedarlah kita bahawa azan merupakan seruan Allah. Terdapat satu lagi seruan Allah; iaitu saat tibanya kematian. Yang itu mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Marilah kita sujud kepada Allah; sebagai tanda kita seorang insan yang kerdil dan sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya sebelum nafas kita berakhir. 

Tuesday, July 9, 2013

Solat Sunat Dhuha



Begitu mudah sekali untuk melaksanakan solat sunat dhuha. PPI Maxwell berharap agar pembaca sekalian menjadikan ibadah solat sunat dhuha ini sebagai kewajipan harian lebih-lebih lagi kita yang sedang berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Manfaatkan waktu dengan melakukan amal ibadah biarpun hanya berzikir. Semoga kita akan terus istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah kepada-Nya. InsyaAllah.

Monday, July 8, 2013

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan





Ya, bulan Ramadhan semakin tiba. Semoga amal ibadah yang kita lakukan mendapat gandaan pahala daripada Allah Subhanahu Wataala. Yang paling penting, istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah. PPI mengucapkan Selamat Berpuasa kepada pelajar-pelajar SMK Maxwell dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Jadikanlah bulan puasa  yang bakal tiba sebagai medan bagi kita untuk berubah ke arah yang lebih positif dan menyingkirkan segala keburukan dalam diri.

p/s: Mohon perkongsian untuk lagu di atas ya. Terima Kasih^^..